Kita menghindangkan menu dengan resipi pandai2 sendiri... hehehehe... tak kuasa acik nak beriya... tak tau la apa punya mood dok singgah dalam diri tahun ni. Apa2 pun at the end of the day, semua habis dibaham. Alhamdulillah, tiada pembaziran ketara yang berlaku.
Mulanya kita nak buat nasi arab tapi rempahnya tidak mencukupi. Korek2 dapur tu ada rempah briyani, tu yang tukar jadi nasi briyani.
Nasi Briyani Ayam
1 ekor ayam – potong kecil dan bersihkan
8 cawan beras basmathi – cuci, rendam 15 minit dan toskan
8 cawan air
2 helai daun pandan – bersihkan dan simpul
100 gm rempah briyani + sedikit air jadikan pes
1 cawan yogurt asli / tairu (susu cair + perahan limau nipis)
2 biji tomato – dadu
1 pokok daun ketumbar
Gajus/kismis (option kalau suka)
Garam secukup rasa
Bahan Tumis
2 biji bawang besar – dimayang halus
5 ulas bawang putih – dihiris halus
1 inci halia – diracik halus/tumbuk
Rempah tumis – buah pelaga, bunga lawang, kayu manis dan cengkih
250 gm minyak sapi
Panaskan minyak sapi dan masukkan bahan tumis dan goreng hingga wangi. Masukkan daun pandan dan pes rempah gaul rata hingga naik bau. Kemudian masukkan ayam. Gaul rata.
Masukkan air (boleh tambah sedikit lagi jika mahu) dan biarkan didih menggelegak baru masukkan yogurt. Tunggu hingga mendidih semula.
Masukkan beras yang telah ditoskan airnya. Gaul rata dan masak nasi hingga kering sedikit.
Masukkan tomato, daun ketumbar, gajus dan kismis. Biarkan nasi masak sepenuhnya.
Dalca juga adalah percubaan yang entah keberapa kali tapi Alhamdulillah, kali ini memang menjadi sungguh. Tukang komplen pun bagi 'two thumbs up'... semangat! semangat!
300 gm daging
1 cawan kacang dhal – cuci dan rebus hingga empuk
1 biji terung panjang
4 biji terung bulat - potong baji
5 batang kacang panjang
1 biji lobak merah
2 biji kentang
2 biji tomato – belah 4
2 biji cili hijau hiris kasar
1 ½ cawan susu segar
Perahan asam jawa secukupnya
Garam secukup rasa
Bahan tumis
2 paket rempah kari - bancuh ngan sedikit air
2 pelepah daun kari
2 biji bawang besar – dihiris
4 ulas bawang putih - dihiris
3 cm halia - dihiris
Rempah tumis - kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga, bunga lawang
Minyak utk menumis
Cara Menyediakan
1) Bersihkan daging dan potong kecil-kecil.
2) Sayur-sayuran di potong mengikut selera.
3) Rebus kacang dal dan daging sehinga keduanya masak dan empuk.
4) Masukkan kentang dan lobak dan rebus sehingga empuk dan diikuti terung, kacang panjang dan tomato.
5) Tumis darat: Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan rempah tumis dan diikuti dengan bawang besar, halia dan bawang putih yang telah dihiris. Tumis sehingga naik bau.
6) Masukkan daun kari dan rempah kari daging, gaul rata. Masukkan asam dan garam. Tumis sehingga ia masak dan masukkan kedalam periuk rebusan daging dan sayur-sayuran. Kacau hingga sebati.
7) Masukkan susu dan masak sehingga mendidih dan rasakan garamnya.
Jelatah ni sapa pun buleh buat, tak der hal punya kan... Jelatah
1 batang timun jepun – potong mengikut selera
1 batang kecil lobak merah – hiris memanjang
1 biji tomato - hiris nipis
1 biji bawang besar – hiris
2 biji cili merah – hiris sesuai selera
1 sudu besar udang kering – rendam sebentar dan tumbuk lembut
cuka, garam dan gula secukup rasa
Campurkan semua bahan dan perap selama lebih kurang 15 minit sebelum dihidang.
Pajeri nenas stail macam ni mmg popular di sebelah selatan. Tidak menggunakan rempah. Pertama kali dapat sesuai dengan selera setelah mencuba beberapa kali.
Pajeri Nenas
Bahan A:
1 biji nenas mengkal, kupas dan potong kecil
2 biji cili merah – potong sesuai rasa
1 biji bawang - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 cm halia - dihiris
2 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu kecil udang kering – rendam dan tumbuk lembut
2 sudu kecil biji sawi
1 1/2 sudu besar Cuka
Air
Gula dan Garam secukup rasa
Bahan B - Penumis:
1 batang (anggaran 2 inci) kulit kayu manis
3 biji bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
Cara menyediakannya:
Rebus nenas hingga layu. Saringkan airnya.
Tumis B hingga wangi dan masukkan bahan hiris, serbuk kunyit, biji sawi, udang kering dan tumis hingga keperangan.
Masukkan nenas, cili dan sedikit air, biarkan mendidih.
Masukkan cuka, gula dan garam secukupnya.
Renihkan sebentar sebelum dihidang.
Alhamdulillah, tahun ni dapat sedekah daging korban. Tak tau nak masak camana lagi, kita buat resipi andaian jer. Tapi alhamdulillah, kena lak kat tekak Mat Rock. Simple jer... mungkin sebab daging masih segar menjadikan menu tersebut terasa enak. Nama resipi tu Mat rock yang bagi... hehehe...
Daging Goreng Sate
1 kg daging
5 ulas bawang putih - dikisar/tumbuk
3 sudu besar sos tiram
1 sudu teh black pepper
1 sudu besar serbuk kunyit
sedikit gula
Gaulkan semua bahan dan perap lebihkurang 1 jam.
4 sudu besar minyak untuk menumis
2 inci halia - hiris
2 besar sudu gula
garam secukup rasa
2 biji bawang besar - dihiris
3 biji cili merah/hijau - hiris serong
1 pokok daun bawang - potong 1 inci panjang
daun sup - optional
Panaskan minyak di dalam kuali. Gorengkan daging perap dan halia hingga daging empuk dengan kuali bertutup. Kacau sekali sekala untuk mengelakkan hangus.
Apabila air daging sudah separuh kering, masukkan garam dan gula secukup selera, kacau rata.
Masukkan bawang besar dan cili merah, kacau rata hingga bawang sedikit layu. Tutupkan api dan masukkan daun bawang, gaul rata.
Taburkan daun sup cincang sewaktu menghidang.