Di Johor, bubur asyura dan bubur lambuk kelihatan sama saja. Bahanpun lebihkurang sama, berasakan beras dan santan, rasanya lemak masin atau 'savoury', dihiasi kacang tanah goreng, hirisan daun bawang dan daun sup, bawang goreng dan hirisan telur dadar. Isian di dalam bubur bergantung mengikut sesuatu daerah atau kawasan.
Bagi versi akak memang senang sangat. Kiranya akak mengikut apa yang arwah emak buat dulu. Cukup ringkas.
Bubur:
3 cawan beras - cuci bersih
1 sudu teh garam
3 liter air
1 batang lobak merah - didadu
1 tongkol butir jagung (jika ada) - ambil butirnya sahaja
1 liter santan
Campurkan semua bahan, masak hingga beras kembang dan menjadi bubur pekat.
Masukkan lobak merah dan jagung (kalau ada). Biar mereneh hingga lobak masak.
Masukkan santan, renehkan.
Isian bubur:
400 gm daging cincang
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
2 cm halia
rempah tumis - kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang
1 sudu teh lada putih
1 sudu besar serbuk ketumbar
1/2 sudu teh serbuk jintan manis
1/2 sudu teh serbuk jintan putih
garam secukup rasa
1 cawan air panas
1/2 cawan minyak utk menumis
Kisar bawang besar, bawang putih dan halia.
Panaskan minyak, tumiskan rempah hingga naik bau kemudian masukkan bahan kisar. Kacau dan biarkan sedikit kering. Masukkan lada putih, serbuk ketumbar dan serbuk jintan. Kacau rata.
Masukkan daging kisar, gaul serata. Tambahkan air dan biarkan mendidih hingga daging masak. Perasakan garamnya.
Bila daging cukup masak dan sedikit kering, tuangkan ke dalam bubur, kacau rata dan sebati. Renehkan selama 5-10 minit, tutupkan api.
Bahan hiasan:
Telur dadar - hiris halus
kacang tanah goreng
bawang goreng
hirisan daun sup dan bawang
hirisan cili merah