Dah lama dapur tak berasap... rasa rindu la pulak. Teringat janji kat Iman nak masakkan dia nasi tomato minggu lepas. Minat sangat dengan nasi tomato sampai tiapkali ada pasar malam dia minta nasi tomato. Lagipun memang dah lama tak buat nasik tomato. Sesekali tukar selera... emm? tukar selera? ye la... dari masakan kedai ke masakan rumah sendiri... air tangan sendirik...
Nasi Tomato
4 cawan beras Basmathi - cuci, rendam 15 minit, toskan
100 gm tomato puree dalam tin
4 biji tomato segar - dicelur dan kisar
200 ml susu cair
3 sudu besar mentega
4 cawan air rebusan ayam
garam secukup rasa
2 biji tomato segar - didadu
kismis (option)
bahan tumis
kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga
1 biji bawang besar - didadu
1 inci halia - dihiris
2 helai daun pandan
Panaskan mentega di dalam periuk. Masukkan bahan tumis dan goreng hingga bawang layu dan naik bau.
Masukkan tomato puree dan tomato kisar, kacau sebati. Tambahkan air rebusan ayam dan susu. Biarkan mendidih kemudian masukkan beras. Kacau ratakan bahan. Biar hingga nasi sudah separuh masak dan kering airnya.
Kecilkan api dan taburkan tomato yang didadu. Biarkan nasi masak sepenuhnya.
Kita lak kalau buat nasi tomato suka buat puri dari tomato segar. Kelar bersilang punggung tomato tu dan rendam dalam air panas mendidih hingga kulitnya terkupas. Angkat buang kulit dan kisar. Tapi kena gak campur puri dalam tin untuk menaikkan warnanya. Kalau tak dicampur nasi nampak pucat.
Ayam Masak Tomato
1 ekor ayam - perap dengan garam dan kunyit
1 mangkuk sos tomato
3 sudu besar sos cili
1 biji capsicum - didadu
3 biji cili merah - potong serong
2 biji tomato segar - potong baji
air rebusan ayam secukupnya
garam gula secukup rasa
minyak utk menggoreng
bahan tumis (dihiris)
1 inci halia
ulas bawang putih
6 butir bawang merah
Panaskan minyak dan goreng ayam hingga separuh masak. Ketepikan.
Kurangkan minyak dalam kuali sehingga tinggal lebih kurang 4 sudu besar. Masukkan bahan tumis, goreng hingga naik bau. Masukkan segala sos dan air secukupnya (ikut kepekatan yang dikehendakki). Kacau rata dan biarkan mendidih dan sedikit kering.
Perasakan garam dan gulanya. Masukkan ayam goreng tadi dan gaul hingga sekata bahannya.
Masukkan tomato, capsicum dan cili merah atau bawang besar dihiris jika suka.
Hidangkan.
Sup
Sup
Air rebusan ayam secukupnya
bawang merah dihiris
bawang putih dihiris
garam secukup rasa
daun sup/daun bawang dihiris
bawang goreng
Didihkan air rebusan ayam, masukkan sekali hirisan bawang merah dan bawang putih. Perasakan garamnya.
Taburkan bawang goreng, hirisan daun bawang dan daun sup semasa menghidang.
Acar Timun dan Tomato
1 batang lobak merah - potong sesuai selera
2 biji tomato - hiris nipis
1 biji bawang besar - di mayang
2 biji cili merah - dihiris
garam dan gula secukup rasa
2 sudu kecil cuka
Campurkan semua bahan dan gaul rata. Perap selama 15 minit sebelum dihidang.
No comments:
Post a Comment