Thursday, May 21, 2009

Ayam Masak Kicap

Apa apa aja yang berkicap memang menjadi favourite orang2 dalam rumah ni. Sesekali masak cam ni sungguh menyelerakan. Kali ni ayam tu mmg kita biar setongkol besar, malas nak potong2... entahla... agaknya angin demam dah menyinggah kot masa tu...


1 ketul dada ayam - bersihkan, gaul garam kunyit dan goreng
1 biji kentang - potong dan goreng separuh masak
1 biji bawang besar - belah 6
1 biji cili hijau - belah 2
rempah tumis - bunga lawang, buah pelaga, kayu manis dan cengkih
1 biji bawang merah - hiris
1 ulas bawang putih - hiris
1 cm halia - hiris
1/2 sudu teh lada hitam - tumbuk kasar
1/2 cawan kicap
air asam jawa atau cuka
gula secukup rasa
minyak untuk menumis

Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan rempah hingga naik bau. Masukkan bahan hiris dan lada hitam, goreng hingga layu.
Masukkan kicap, air asam jawa dan gula secukup rasa. Masukkan ayam dan kentang, biarkan hingga mendidih. Masukkan bawang besar dan cili hijau. Masak hingga bawang sedikit layu.
Siap untuk dihidang.

Goreng Bilis Cili Hijau

Ni pun hidangan yang kita bawa untuk pot luck tu. Saja jer buat ikut selera kampung untuk tekak sendiri sebenarnya. Tak sangka ramai yang suka, ada yang meratah begitu saja... Selalunya kita buat macam ni bila dah habis akal nak makan apa... semua main baling2 jer... tapi memang membuka selera seisi rumah ler. Kadang2 kita tuangkan kicap. Lagi la laju depa2 ni mengayuh...

Ikan bilis - dibersihkan dan digoreng
Bawang besar - dimayang
Cili hijau - dihiris
Air asam jawa
Minyak utk menumis

Panaskan minyak dan goreng bawang dan cili hijau hingga sedikit layu.
Masukkan bilis dan air asam, gaul sebati dan rata. Tutup api dan hidangkan.

Patin Tempoyak

Juadah yang kita bawak masa 'pot luck lunch' bulan lepas kat office. Buat yang simple2 jer... 3 ekor patin dikorbankan. Ramai yang ambil kesempatan membedal patin tempoyak nih... maklum ler free kan... kalau makan kat kedai sure kena sembelih... biasala harga ikan sungai bukannya murah, lebih2 lagi yang siap di masak.

Jangan terkejut dengan harganya kerana ada yang mencecah sampai RM300/kg tau... So, kalau nak makan ikan sungai di kedai, bersiap sedialah dengan poket yang penuh ye...


Ok, mari kita belajar masak sendiri. Ini resipi dari Kg Bapong, Kuala Lipis - pak sedara mat rock yang ajar. Bahan2 tu pepandai la adjust ikut kesesuaian banyak mana ikannya ye...


Patin Tempoyak

3 ekor Ikan Patin - dipotong dan dibersihkan
kunyit hidup (serbuk buleh juga, tp yg fresh lebih sodap)
cili api (kalau nak berasap, sendiri mau ingat ler yek)
500gm tempoyak
garam secukup rasa
air secukupnya


Lumatkan kunyit dan cili api.
Dalam periuk, campurkan semua bahan kecuali ikan. Didihkan atas api sederhana.
Masukkan ikan dan biarkan mereneh hingga ikan masak.



Perhatian:

  • Didihkan kuah dahulu jika masak dalam jumlah yang banyak supaya ikan tidak hancur.

  • Tambahkan asam keping jika tempoyak anda tidak cukup masam.
  • Kuantiti air adalah mengikut kepekatan yang anda kehendakki.

Senangkan? Selamat mencuba!!

Tuesday, May 19, 2009

Pencuk Nenas

Tak tau la orang lain panggil apa. Tapi arwah emak bagi nama Pencuk... ada pengaruh Jawa skit... dah memang orang jawa pun kan.

Tiap kali kalau ada nenas separuh masak, cuaca pulak panas, emak akan buat pencuk nenas. Balik sekolah bukak tudung saji nampak pencuk, emmmm... tak boleh tahan dah, baru hidu baunya saja bagai mau gugur air liur nih... terkam terus.

Resipi ni versi ingat2 lupa... siap tanya kat kakak sebab dulu2 memang dia la paling rajin buat pencuk.

Pencuk Nenas

1 bijik nenas separuh masak
5 biji cili merah (tambah cili api utk lebih pedas)
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
belacan - dibakar
garam dan gula secukup rasa

Nenas dibuang kulit, bersihkan dan racik halus.
Tumbuk cili, bawang merah, bawang putih dan belacan.
Gaulkan nenas dan bahan yang ditumbuk tadi.
Perasakan dengan garam dan gula.

Tuesday, May 12, 2009

Ubi Rebus & Sambal Tumis Cili Api


Eeemmm... yummy!!! Ubi rebus colek dengan sambal tumis cili api...Wallah!!! Untuk breakfast last weekend. Dah lama sungguh tak makan macam ni. Takut tak der yang sudi nak join makan... Maklum makanan orang kampung, lakiku sendiri pun tak pernah makan camni katanya... tp bila dah cuba, hah! ambik kau... heehehe...

Tak lama dulu Iman minta nak makan ubi rebus dengan gula. Dah buat tapi dia makan sikit. Kita dah bagi tau dia, kalau makan ngan sambal tumis atau sambal belacan atau paling tidak dengan ikan masin lebih sedap. (Sebenarnya nak elakkan dia ambil gula berlebiha, dia memang suka manis). Tak sangka anak aku yang sorang ni memang selera kampung. Permintaan dia memang pelik la... kebanyakkannya makanan masa kita kecik2 dulu... mana dia belajar pun tak tau la...

Tapi kerana permintaan dia la kami sekeluarga dapat merasakan dan mengajar tentang makanan waktu dulu2 dan bercerita tentang zaman kanak2 emaknya nih... Keluarga kita memang susah dulu2 berbanding keluarga mat rock. Kita bangga dapat perkenalkan kepada anak2 dan bapanya apa yang pernah jadi kesukaan kita dulu...

Jangan tak tau, satu mangkuk sambal tu habis jadi colek ubi rebus. Pedas tu... tapi masing2 makan tak ingat dunia...



Sambal Tumis Cili Api
1/2 cawan cili api
5 biji bawang merah
belacan
ikan bilis
perahan asam jawa
garam dan gula secukup rasa
minyak untuk menumis

Tumbuk cili, bawang merah, belacan dan ikan bilis. Jangan terlalu lumat.
Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bahan tumbuk hingga naik bau dan terbit minyak.
Masukkan air asam jawa, garam dan gula. Kacau sebati dan biar hingga sedikit kering.
Hidangkan.



Tempe Rebus Asam

hari ni semua orang dalam rumah demam, nak masak pelik2 pun sure masing tak selera. Kita ikut selera kita masa berpantang dulu... hehehe... ni pernah janji kat Zai Kulim gak nak bg resipi dalam pantang. Tekak loya2 ni mmg sedap layan ngan rasa masam2 skit... Opps! Kita tak ngidam tau... tapi tekak tak sedap sbb demam... Jom kita layan...

4 keping tempe, potong kecil
1/2 biji bawang besar - potong baji atau hiris
1 ulas bawang putih - hiris
1 biji cili merah, potong serong (boleh ganti ngan lada hitam)
secubit ikan bilis - bersihkan
Air asam jawa secukupnya (kepekatan ikut selera)
garam secukup rasa

Masukkan semua bahan ke dalam periuk. Masak diatas api sederhana hingga semuanya masak. Hidangkan.

********************************************************

Dah tak tau apa lagi lauk nak bagi, kita buat LEMPENG TELUR... hehhe... jgn saspen ye... telur dadar jer...

Monday, May 4, 2009

Nasi Goreng Kelam Kabut

Sempoi giler... dalam kelam kabut nak balik kampung aritu sempat menggoreng nasi. Hari sebelum tu ada makan2 di office, so banyak nasi lebih sayang nak buang. Kita bawak balik dan goreng, jimat beras aku... hehehehe...
6 pinggan nasik sejuk
5 ulas bawang putih - cincang
10 butir cili api - ketuk jer
ikan bilis secukupnya
garam secukup rasa
1/2 batang lobak merah - parut
minyak utk menggoreng
2 biji telur - pukul sedikit

Panaskan minyak, gorengkan bawang putih, cili api dan ikan bilis hingga wangi.
Masukkan lobak merah dan nasi. Gaul hingga bercampur rata. Masukkan garam dan gaul rata.
Goreng hingga semua bahan sebati. Kecilkan api dan masukkan telur. Gaul rata dan goreng hingga telur masak sepenuhnya.
Hiaskan dengan kobis ungu yang dihiris dan hidangkan.

Sotong Goreng Kunyit

Dah tak tau nak masak macamana lagi... orang sakit ni otak pun lembab... belasah jer la, sbb mat rock kata masak la apa2 je...

500g sotong - bersihkan, potong cincin
garam
kunyit serbuk
1 biji bawang besar - dihiris
2 biji cili hijau - dihiris
sedikit halia - dihiris
minyak goreng secukupnya

Gaul sotong bersama kunyit dan garam.
Panaskan minyak dan gorengkan sotong sebentar. Angkat dan ketepikan.
Kurangkan minyak goreng tadi hingga tinggal lebihkurang 3 sudu besar.
Gorengkan bawang besar, halia dan cili hijau hingga bawang sedikit layu.
Masukkan semula sotong goreng tadi. Kacau hingga bahan bercampur rata.
Angkat dan hidangkan.

Kobis Goreng

Ni permintaan mat rock masa kita sakit gigi aritu. Cam biasa la, kasi sempoi punya version... memasak sambil menahan sakit gigi tu, lagi geram sbb tak buleh nak makan sekali... uuuwaaa...


Kobis - hiris ka apa ka, lanyak jer asalkan potong ler
1 butir bawang merah
secubit ikan bilis
1 biji cili merah dihiris
tomato - potong baji
garam secukup rasa
minyak untuk menumis
air panas secukupnya

Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang, cili merah dan ikan bilis, goreng hingga bawang sedikit layu. Masukkan kobis dan air, kacau balik hingga bahan serata. Masukkan tomato dan garam secukup rata. Reneh sebentar dan hidangkan.

Sunday, May 3, 2009

Peria Goreng Telur

Peria Goreng Telur
2 small bittergourds - seeded n sliced
2 biji peria katak - buang biji & dihiris

1/2 big onion - sliced
1/2 biji bawang besar - dihiris

1 chilli - sliced
1 biji cili merah - dihiris

pinch of achovies
secubit ikan bilis

2 eggs - lightly beaten
2 biji telur - dipukul sedikit

salt to taste
garam secukup rasa

2 tbsb cooking oil
2 sudu besar minyak masak

Wash sliced bittergourd in water with a pinch of salt and drain.
Heat oil in a pan. Stir fry onion and anchovies till fragrant. Throw in washed bitterguard n sliced chilli, fry for 5 second. Add in salt. With low heat, add in beaten eggs. Stir the eggs with all ingredients with high heat till the eggs evenly cooked.

Cuci peria dengan air yang dicampur sedikit garam dan toskan.
Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang dan ikan bilis sehingga naik bau. Masukkan peria dan cili, kacau goreng selama 5 saat. Tambah garam secukup rasa. Kecilkan api dan masukkan telur dan ratakan. Kacau goreng ngan api besar untuk seketika atau sehingga telur masak rata.


Collected from my http://penyulawa.fotopages.com/